STAR Segamat: Profil Sekolah

Profil Sekolah



LAGU SEKOLAH

Waktu fajar pagi memyinsing sudah
Menyinar Sekolah Temenggong yang indah,
Tabahkan hati janganlah gundah
Tuntut ilmu berbagai madah…

Tersergam indah Sekolah kami,
Temenggong Abdul Rahman nama diberi,
Kecil dan besar kami ke sini,
Ilmu pengetahuan dicari…

Hidup kami ini bagaikan mentari,
Sinarnya berseri-seri,
Debaran di jantung inginkan berbakti,
Pada ibu pertiwi…

Kami murid lelaki dan perempuan,
Berganding bahu ke satu haluan,
Berlumba-lumba cari pengetahuan,
Ilmu Suluh Kemajuan.

Lagu Ciptaan : Ramli bin Abd Samad
Lirik : Hajjah Aziziah binti Ibrahim

----------------------------------------------------------------

FALSAFAH STAR

TIADA GUNUNG YANG TIDAK BOLEH DIDAKI
TIADA MASLAAH YANG TIDAK BOLEH DIATASI

Murid-murid di STAR mempunyai potensi untuk berkembang maju dari ilmiahnya. Murid-murid di STAR akan diberi peluang seluas-luasnya memperkembangkan tahap inteleknya ke tahap cemerlang.

Guru-guru di STAR mempunyai keupayaan, pengetahuan, kemahiran, semangat dan kebolehan iktisas untuk pendidikan yang menyeluruh dan bermutu.

Pentadbiran STAR mempunyai keupayaan untuk menyediakan tenaga pengajar dan memikul tanggungjawab bagi melahirkan manusia memberi sumbangan positif kepada agama, bangsa dan negara.
----------------------------------------------------------------

PIAGAM PELANGGAN

Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman akan:-

Memastikan bahawa semua peraturan dan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah Segamat dipatuhi setiap masa.

Memberi layanan mesra dan cepat kepada semua ibubapa dan penjaga serta masyarakat umum yang berurusan dengan pihak sekolah.

Memastikan semua murid mendapat pendidikan yang berkualiti tanpa mengira status dan kaum.

Memastikan semua staf dan kakitangan bertugas dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab.
----------------------------------------------------------------

SEJARAH SEKOLAH

Sebuah sekolah Gred A tertua di kawasan bandar Segamat. Semenjak ditubuhkan pada Tahun 1900 hingga kini, SK.Temenggong Abdul Rahman telah ditadbir oleh 19 orang Guru Besar.

Berikut adalah senarai ringkas Guru Besar yang telah mentadbir sekolah ini:-

  1. Hj. Ahmad Bin Hassan (1900)
  2. En. Ahi Bin Kindang (1908)
  3. En. Arshad Bin Esa (1914)
  4. En. Mahmud Bin Ismail (1927)
  5. En. Arshad Bin Esa (1929)
  6. En. Omar Bin Abu Talib 1930)
  7. Tn. Hj. Jiman Bin Abd. Ghani (1940)
  8. Tn. Hj. Yaakub Bin Othman (1951)
  9. Tn. Hj. Yahya Bin Abu Bakar (1952)
  10. Tn. Hj. Md Salleh Bin Md. Shah (1957)
  11. En. Othman Bin Ahmad (1972)
  12. Hjh. Habsah Binti Md. Salleh (1983)
  13. En. Mohamed Bin Limat (1989)
  14. En. Wan Mat Mahmood (1994)
  15. Tn. Hj. Ahmad Murad Bin Ami (1997)
  16. Tn. Hj. Ramly Bin Abd. Rahman (2003)
  17. Tn. Hj. Mahat Bin Kassim (2007)
  18. Tn. Hj. Juaidi Bin Mat Sayed (2010)
  19. En. Ramlee Bin Ramlan (2016)
  20. Pn. Rubiah Binti Tijan (sekarang)

SEJARAH RINGKAS
Ditubuh dalam tahun 1900 bertempat di Jalan Hassan, Segamat di bawah pimpinan Tuan Haji Ahmad bin Hassan. Dikenali sebagai Sekolah Melayu Segamat. Bangunan sekolah kecil berbentuk rumah kediaman yang diperbuat daripada papan.

Pada tahun 1914, sekolah ini telah berpindah ke bangunan yang baru dibina oleh kerajaan di Jalan Aji, Segamat. Bangunan baru ini mempunyai 4 bilik darjah yang besar disekat dengan tirai papan dan sebuah bilik kecil sebagai bilik Guru Besar.

Menjelang tahun 1930, dibawah pimpinan Encik Arshad bin Esa, sekolah ini telah berpindah ke bangunan baru di Jalan Pawang, Segamat. Bangunan rumah panjang yang dibina tidak mempunyai dinding untuk memisahkan bilik-bilik tertentu. Bilik darjah hanya dipisahkan dengan skrin papan.

Pada tahun 1942 dibawah pimpinan Tuan Haji Jiman bin Abdul Ghani, jumlah murid adalah seramai 179 orang. Menjelang tahun 1944 jumlah murid ialah 64 orang kerana peperangan. Tetapi pada tahun 1945, jumlah murid bertambah kepada 170 orang. Oleh kerana semua murid sekolah ini lelaki, maka sekolah ini lebih dikenali Sekolah Melayu Lelaki Bandar Segamat.

Pada tahun 1968, dengan persetujuan YM Al-Marhumah Wan Zaliha bt. Almarhum Temenggong Abdul Rahman, nama sekolah ini diganti dengan nama Sekolah Temenggong Abdul Rahman, Segamat. Pada tahun 1980, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 396,295.00 untuk membina sebuah bangunan tiga tingkat yang lengkap dengan pejabat, Bilik Guru Besar, Pusat Sumber dan bilik-bilik darjah sebagaimana yang dapat dilihat sekarang (Blok A). Pada 3 Mac 1983 bangunan ini dirasmikan oleh YB. Datok Ajib b. Ahmad yang ketika itu Menteri Besar Johor.

Pada tahun 1983, sekolah ini mengalami perubahan besar menerima murid perempuan apabila semua murid dari Sekolah Perempuan Bandar yang terletak di Jalan Hassan dibubarkan. Puan Hajjah Habsah bt. Md. Salleh dari Sekolah Perempuan Bandar yang telah dibubarkan menjadi Guru Besar.

Pada tahun 1989, bangunan Pendidikan Khas masalah pendengaran telah dibina. Bangunan ini dirasmikan oleh YB. Dato Abdul Razak bin Atur Pengarah Pendidikan Negeri Johor pada ketika itu.

Pada tahun 1991, bangunan Pusat Kegiatan guru Bandar Segamat telah dibina dan berfungsi sepenuhnya untuk guru-guru menjalankan aktiviti yang selaras dengan cita-cita kerajaan serta misi pendidikan.

Pencapaian akademik dan pengurusan yang cemerlang pada tahun 1992, sekolah ini telah diistiharkan sebagai Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri Johor. Oleh kerana pertambahan murid, pembinaan bangunan tiga tingkat menggantikan bangunan kayu yang terletak berhadapan dengan blok A dan bersebelahan Bangunan Pendidikan Khas dibuat pada tahun 1993 dan siap pada tahun 1995. Bangunan baru ini dilengkapi 8 bilik darjah, bilik gimnasium, bilik kemahiran hidup, makmal komputer dan sebuah kantin yang besar.

Bilangan murid yang ramai menyebabkan kekurangan bilik darjah. Maka, murid-murid tahun 1,4,5 dan 6 belajar di sesi pagi manakala tahun 2 dan 3 belajar di sesi petang.

Pada pertengahan tahun 2009, bangunan baru dua tingkat berbentuk L akan dapat digunakan .Sekolah akan bermula satu sesi.Bangunan yang berharga RM 5.4 juta dilengkapi dengan 6 bilik darjah, pejabat dan bilik-bilik khas.Di antara bilik-bilik khas ialah bilik mesyuarat,surau dan j-QAF,bilik muzik,makmal Sains,bilik Seni Visual,bilik rawatan dan bilik pengurusan PJK.

Sekolah ini berpegang pada motto “Tiada gunung yang tidak boleh didaki, tiada masalah yang tidak boleh diatasi”. Sehingga kini sekolah ini telah menempa banyak kejayaan dalam bidang Kurikulum dan Kokurikulum di peringkat daerah dan negeri.

KEJAYAAN
STAR salah sebuah sekolah yang menempa banyak kejayaan dalam bidang Kurikulum dan Kokurikulum di Daerah Segamat. Antaranya :
  • Tempat ke-2 Sekolah Harapan Negara 1992 / ke-3 Tahun 2002 dan 2006.(Rujuk Lampiran 1)
  • Johan Pertandingan Pusat Sumber Daerah Segamat / ke-3 Peringkat Negeri Johor sejak Tahun 1994 
  • Diiftiraf sekolah aktif menabung di Akaun Simpanan Bank Simpanan Nasional sejak Tahun 1982.
STAR merupakan kawasan yang selamat dan mudah untuk berbincang. Banyak agensi luar , badan pengurusan lain dan PPD Segamat kerap menjadikan STAR sebagai tempat berkursus, bermesyuarat,
makmal komputer dan lain-lain lagi kearah pendidikan dan perkembangan sumber insan. Hubungan STAR dengan komuniti setempat amat baik. Antaranya :
  • Pusat banjir pada tarikh 19-28 Disember 2006 dan 7-8 Januari 2007.
  • Temuduga pengambilan baru tentera darat.
  • Mesyuarat Koperasi Guru Daerah Segamat (setiap tahun).
  • Kursus Komputer / perkembangan staf sekolah / guru berkenaan (GPK – Head Count / membina jadual waktu (Syarikat Pro-Office Kuala Lumpur).
  • Penanda aras Sekolah Harapan Negara bagi sekolah terpilih Sekolah Harapan Negara Daerah Segamat , Purata Mata Gred (penilaian) , Kebun dalam sekolah , merancang Pelan Strategik dan lain-lain lagi. 
  • Sekolah rujukan kantin contoh kerana berjaya dalam pengurusan kesihatan dan kebersihan kantin (Tahun 1993)
”STAR” atau ”bintang” bermaksud ”Nasib Untung” dalam Kamus Dewan halaman 162 merupakan panggilan masyarakat terhadap singkatan nama Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman. STAR merupakan sebuah sekolah mempunyai pentadbiran / pengurusan gabungan Pendidikan Khas Masalah Pendengaran (Integrasi).

PANORAMA SEKOLAH


UNIT & BAHAGIAN
Untuk mendapatkan lebih maklumat berkenaan perjalanan dan pencapaian STAR, Sila lawat halaman khas bagi unitdan bahagian di bawah:

No comments :